Thursday, December 22, 2011

Arnab dan Lobak



Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui (Surah Al Baqarah : Ayat 216)


Lihatlah ilustrasi 2 ekor arnab di atas. Comel kan?.. Kedua-duanya mempunyai satu pokok lobak. Seekor mempunyai pokok yang besar dan sihat, tetapi seekor lagi mempunyai pokok yang kecil dan kurus. Secara am, pasti pokok yang besar itu akan memberikan hasil lobak yang besar. Manakala pokok yang kecil itu akan memberikan hasil lobak yang kecil. Namun itu dari luaran fizikal yang boleh dilihat dari mata kasar, tetapi adakah arnab2 ini sedar bahagian yang Allah tentukan untuk mereka di bawah tanah itu?.. Mereka tidak akan tahu sehingga mereka keluarkan buah2 lobak tersebut. Begitulah juga dengan pusingan kehidupan manusia di dunia.

Kehidupan di dunia bukanlah semudah yang disangka. Terlalu banyak cabaran dan liku2 yang perlu dihadapi. Ada orang yang bernasib baik, tetapi ada juga yang kurang bertuah. Ada orang yang kaya-raya, tak kurang juga orang yang faqir miskin. Ada orang yang berjaya di dunia, namun ramai juga orang yang gagal. Semua ada bahagiannya masing-masing.  Kadang2 kita bermula dengan kebahagiaan, tetapi berakhir dengan penderitaan. Namun tidak mustahil jika kita bermula dengan penderitaan, kita akan berakhir dengan kebahagiaan.  Itulah Qada’ dan Qadar. Sebagai seorang Muslim yang taat pada Penciptanya, kita wajib percaya kepada ketentuan Ilahi.  Namun percayalah, langit tidak akan selalu cerah. Tetapi mendung tidak beerti akan hujan. Kerana apa? Kerana Allah itu Maha Berkuasa. Allah itu Maha Berkehendak.

Sebagai manusia biasa yang lemah lagi hina, terkadang pasti pernah terdetik dilubuk hati kecil yang paling dalam menyesali atau meratapi dugaan dan ujian yang diberikan. “kenapa aku tidak kaya?” “kenapa aku hidup susah?” “kenapa aku selalu gagal?” “kenapa aku diberi penyakit?” “kenapa aku tidak bahagia?” Kenapa itu dan kenapa ini. Bahkan kita merasakan dugaan dan ujian terlalu berat untuk dipikul. Apatah lagi melihat orang lain tidak pernah merasakan kesusahan seperti yang kita alami. Tidak pernah diberi ujian sehebat kita. Pada waktu itu kita akan merasakan bertuahnya sekiranya kita berada di tempat mereka yang bersenang-lenang itu.

Apabila kita merasakan diri kita adalah orang yang paling susah, percayalah ada orang yang jauh lebih susah daripada kita. Jangan melihat dari segi luaran dan fizikal sahaja, tetapi renunglah sehingga ke segenap aspek kehidupan yang lain. Mungkin seseorang itu miskin harta, tetapi dia kaya dengan kasih sayang. Mungkin juga seseorang itu kaya raya, tetapi anak-anaknya langsung pergi meninggalkannya seorang lalu menghabiskan hartanya seorang diri. Ini menunjukkan Allah merurunkan ujian atau dugaan dalam pelbagai bentuk dan cara. Terpulang kepada kita untuk menghadapi dan menerimanya.

Namun sebagai manusia biasa, kadangkala kita pasti merasa sedih dan gundah dengan ujian. Kita boleh bersedih hati, tetapi jangan  meratap hiba. Kita boleh mengeluh lelah, tetapi jangan berkeluh kesah. Pokoknya disini jangan berlebih-lebihan. Cukuplah sekadar respon biasa sebagai seorang manusia yang pada fitrahnya bersifat lemah. Pandang setiap yang berlaku dari sudut yang positif. Bina kekuatan dalam diri, untuk menjadi manusia yang lebih kuat menghadapi ujian. Kekuatan jangan dicari, tapi hendaklah dibina. Sentiasa berdoa kepada Allah, kerana doa itu adalah senjata Muslim. Percaya bahawa Allah itu Maha Adil. Seperti yang Allah telah sebutkan dalam Surah Al-Insyirah ayat 5-6 yang bermaksud, " Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Sesungguhnya sesudah kesulitan ltu ada kemudahan".  Bukankah hidup kita diibaratkan berputar seperti roda. Tiba masa kita di atas, bersyukurlah. Tiba masa kita di bawah, bersabarlah. Kita tidak mengetahui, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui.

p/s : Percaya dengan janji Allah. InshaAllah everything is gonna be fine..

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...