Sunday, September 30, 2012

Jambatan

Kenapa kita diuji. Kenapa kita rasa sedih. Kenapa kita rasa susah. Kenapa kita rasa kehilangan. Kenapa kita rasa terbeban. Kenapa perlu ada situasi naik turun dalam hidup kita.

Manusia. Insan. Perkataan insan tu sendiri diambil dari perkataan Arab yang bermaksud lupa. Ya. Manusia memang selalu lupa. Manusia selalu lupa bila disajikan dengan nikmat yang melimpah ruah. Manusia selalu lupa bila sedang gembira. Manusia selalu lupa bila ada semua disisi. Lupa apa? Atau lupa pada siapa? Lupa pada yang memberi kesenangan. Lupa pada yang memberi kegembiraan. Lupa pada yang memberi nikmat.

Aku sudah bersyukur. Bibir sudah mengucapkan Alhamdulillah. Tidak cukup lagikah aku bersyukur? Bagaimana lagi harus aku menunjukkan rasa syukurku. Kenapa nikmat dan kesenanganku ditarik balik? Kenapa kegembiraanku direntap? Keanapa aku rasa hidupku kosong?

Binatang juga tahu mengucapkan syukur. Tumbuhan juga punya cara mengucapkan syukur. Adakah kita sama seperti makhluk lain dalam memahami konsep syukur ini. Cukupkah sekadar mengucapkan Alhamdulillah. Cukupkah sekadar ucapan terima kasih dalam doa seharian. Tetapi dalam masa sama masih lagi melakukan keburukan. Masih lagi bergelumang kemaksiatan. Masih lagi iri pada kejayaan orang lain. Masih lagi lupa tanggungjawab kepada orang tua. Dan yang paling utama masih lagi berkira-kira dalam melakukan tanggungjawab kepada Yang Maha Memberi sekelian nikmat.

Kerana itu manusia diuji. Kerana manusia selalu lupa. Dan hanya akan ingat bila datang kesusahan. Hanya akan ingat bila kehilangan. Ujian dan dugaan adalah jambatan yang menghubungkan manusia dengan penciptanya. Mahukah kita terus jauh dariNya. Hanya kerana tidak mahu menghadapi ujian dan dugaan. Beruntunglah mereka yang selalu diuji. Kerana itu tanda kasih Yang Maha Pencipta. Dari Dia kita datang, dan kepadaNya kita kembali. Begitu juga dengan nikmat dan ujian. Dari Dia segala ujian dan nikmat datang. Dan kepadaNya segala nikmat dan ujian akan kembali.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...